:: Selamat Datang Ke Laman Blog Agro Shop™ :: Pembekal Sumber Pertanian :: Paparan yang Lebih Baik Menggunakan Perisian Pencarian Mozilla Firefox ::

Tuesday, November 9, 2010

Pertanian Adalah Perniagaan


-Agro Shop™-

Pokok Rambutan ( Utusan Malaysia )

Arkib: 08/11/2010

Pengenalan


RAMBUTAN tergolong dalam famili Sapindaceae dan nama saintifiknya ialah Nephelium lappaceum.

Pokok rambutan mempunyai dua musim buah yang utama iaitu pada bulan Jun hingga Ogos dan musim kedua pada bulan Disember hingga Januari.

Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Jarak tanaman yang sesuai bagi pokok rambutan ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama ataupun segitiga sama.

Secara umumnya, pokok rambutan klon (kahwin) boleh mengeluarkan buah pada umur antara tiga dan empat tahun selepas ditanam.

Bagi anak pokok rambutan yang baru ditanam di kebun, ia memerlukan kerja penyelenggaraan yang berkala dan berterusan seperti kerja menyiram, membaja, kawalan penyakit dan perosak, kawalan rumpai serta pemangkasan penjagaan dan pembentukan.

Pembiakan Pokok

Pokok rambutan mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Kaedah pembiakan ini memerlukan tiga komponen yang utama iaitu anak pokok penanti, kayu mata tunas pokok baka terpilih dan peralatan cantuman.

Bagi komponen kayu mata tunas, pastikan memilih mata tunas yang subur, matang dan berkualiti supaya cantuman mudah berjaya.

Cantuman mata tunas yang berjaya perlu diberikan naungan sebelum ditanam di kebun.

Kerja penyelenggaraan yang teratur perlu dilakukan supaya anak pokok subur, tidak berpenyakit dan cepat membesar.

Apabila anak pokok mencapai umur antara lima dan tujuh bulan selepas dicantum, ia oleh ditanam di kebun.

Klon Rambutan

Pokok rambutan yang ditanam diladang UPM ialah seperti R4 (Ya Tow/Penang), R7 (Twa liap Thow), R99, R153(Bunga Mawar), R156(Muar Gading), R 162(OH Heok), R191 (anak sekolah).

Bagi tempoh kematangan buah rambutan, ia mengambil masa 100 hingga 130 hari iaitu antara tiga dan empat bulan dari bunga kembang hingga buah masak.

Rambutan mempunyai perbezaan daripada segi bentuk buah, rasa, ketebalan isi, warna kulit buah, bentuk daun dan bentuk pokok.